27 August 2007

Jualan Kraftangan, Buku Untuk Tabung Kanak-kanak Istimewa

Bernama.com
Malaysian National News Agency

July 20, 2005 11:21 AM



KUALA LUMPUR, 20 Julai 2005 (Bernama) -- Di celah-celah ratusan gerai jualan sempena Perhimpunan Agung Umno di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) di sini, terdapat sebuah gerai yang menjual pelbagai kraftangan dan buku kanak-kanak khusus untuk mengisi tabung bagi kanak-kanak istimewa di Pusat Pembangunan Potensi CADS.

CADS atau singkatan daripada "Cerebral Palsy, Autism, Down Syndrome and Slow Learners", merupakan pusat yang diuruskan oleh pertubuhan bukan kerajaan (NGO) yang terdiri daripada sekumpulan ibu bapa kanak-kanak istimewa yang berpusat di Jalan Semarak.

Walaupun terpaksa bersaing dengan 350 gerai lain yang menjual pakaian, songket, tudung, kerongsang, kraftangan dan cenderamata yang berjaya menarik ramai pengunjung, namun gerai bernombor B128 di Legar Putra, Aras 2, PWTC itu tetap menarik perhatian individu yang prihatin untuk membeli sambil menderma kepada pusat itu.

Menurut presidennya, Salmiah Ahmad Khan, hasil jualan daripada gerai itu akan dimasukkan ke dalam tabung pusat berkenaan bagi membiayai perbelanjaan bulanan pusat itu yang melebihi RM20,000 sebulan

Katanya pusat yang ditubuhkan pada tahun 2003 dengan sembilan pelajar itu kini telah mempunyai 30 pelajar istimewa berumur antara empat dan 12 tahun yang mengikuti sesi persekolahan masing-masing mulai pukul 8.15 pagi hingga 3.15 petang, diikuti kelas iqra' dan tuisyen.

Pusat itu, yang ditubuhkan sekumpulan ibu bapa kanak-kanak istimewa, ahli akademik dan individu yang prihatin terhadap pembangunan kanak-kanak berkenaan, turut menawarkan khidmat kaunseling dan sokongan untuk keluarga dan penjaga kanak-kanak CADS.

Salmiah berkata pusat itu bergantung sepenuhnya kepada yuran pengajian yang dibayar oleh ibu bapa kanak-kanak berkenaan dan kutipan derma daripada orang ramai.

Pada 15 Julai lepas, pusat itu mendapat pengecualian cukai daripada Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) dan pengecualian yang sama juga diberikan kepada penderma yang menyumbang kepada pusat berkenaan, katanya.


Salmiah berkata pihaknya telah memohon geran daripada kerajaan untuk meringankan pembiayaan pusat itu untuk menyediakan sekolah rendah dan mempunyai bangunan lebih besar pada masa depan memandangkan bilangan pelajarnya akan bertambah kepada 60 orang.

Selain itu, katanya, pusat itu yang kini mempunyai tiga guru siswazah dan empat pemegang diploma, memerlukan dua lagi guru pendidikan khas untuk melatih kanak-kanak istimewa itu.

Beliau berkata pusat itu yang mempunyai lima bilik darjah, sebuah bilik komputer, sebuah bilik terapi, sebuah gimnasium yang didermakan oleh sebuah badan korporat, sebuah bilik kaunseling dan sebuah padang permainan, ditempatkan di sebuah banglo di No 8, Lorong San Ah Wing, Off Jalan Semarak dan memerlukan ruang yang lebih luas untuk keselesaan kanak-kanak berkenaan.

"Matlamat kami ialah memberi peluang yang sama rata kepada kanak-kanak CADS untuk memaksimumkan potensi mereka supaya dapat membangun sebagai individu berdikari dan menyumbang kepada masyarakat kelak," katanya.

Salmiah berkata pusat itu berperanan merangka program pembangunan individu menyeluruh yang merangkumi keperluan fizikal, perubatan, pemakanan, psikologi, sosial dan akademik untuk kanak-kanak berkenaan.

Katanya selain menjadi pusat sumber setempat untuk ibu bapa kanak-kanak CADS, pusat itu menyediakan dan merancang dua program individu untuk kanak-kanak berkenaan iaitu program intervensi awal untuk kanak-kanak pra-sekolah (EIP) dan program pembelajaran individu untuk kanak-kanak sekolah (IEP).

Beliau berkata setiap kanak-kanak CADS diawasi melalui penilaian berterusan serta program sokongan yang dilaksanakan bersama-sama pakar psikologi, fisioterapi dan ahli akademik.

Katanya kanak-kanak istimewa itu berpeluang bersekolah dan menjalani pelbagai aktiviti bersama kanak-kanak lain bagi membiasakan diri mereka dengan kehidupan masyarakat.

Salmiah berkata pelbagai program telah dilaksanakan dan dirancang untuk pembangunan kanak-kanak istimewa itu seperti perkhemahan, percutian sambil belajar dan memasak, selain seminar dan bengkel kerja yang dianjurkan untuk ibu bapa dan masyarakat bagi meningkatkan kesedaran mengenai keperluan kanak-kanak berkenaan.

Sektor swasta dan individu yang ingin menyumbang kepada pusat itu boleh menghubungi Salmiah di talian 03-26928300 atau 012-2131548 atau faksimili 03-41085858 atau melalui e-mel cadskl03@streamyx.com atau contact@care4cads.org.my

Maklumat lanjut berhubung pusat itu boleh dilayari di www.geocities.com/cadskl. atau (www.care4cads.org.my)


-- BERNAMA

No comments: