29 January 2008

Belalah pusat kanak-kanak istimewa CADS

Oleh SADATUL MAHIRAN ROSLI

MELIHATKAN wajah dan keletah kanak-kanak di Pusat Pembangunan Potensi CADS, tidak ada bezanya dengan kanak-kanak normal yang lain.
Namun, sebenarnya mereka ini mempunyai masalah pembelajaran yang memerlukan perhatian yang lebih daripada kanak-kanak biasa. Sekali imbas, wajah mereka normal, malah mereka boleh bertutur, mendengar, memahami dan cukup sifat, namun di sebalik itu ada kekurangannya yang harus diberi sokongan dan bantuan.
Presidennya, Datin Salmiah Ahmad Khan berkata, Pusat Perkembangan CADS ini mula beroperasi pada tahun 2004 khusus untuk menempatkan kanak-kanak yang menghidap celebral palsy, hiperaktif (Attention Deficit Hyperactive Disorder), sindrom Down dan disleksia.

Menurutnya, pusat ini dikendalikan oleh pertubuhan bukan kerajaan yang dipanggil Pusat Pembangunan Potensi CADS yang ditubuhkan pada tahun 2003 oleh sekumpulan ibu bapa, ahli akademik dan individu yang prihatin dengan kanak-kanak bermasalah pembelajaran.
“Misi pusat ini ialah untuk mendidik dan menyediakan kanak-kanak CADS ke arah menjadi individu yang berdikari, bertanggungjawab dan menghargai proses pendidikan untuk sepanjang hayat.
“Selain itu, ia membantu ibu bapa dan penjaga memahami dan menangani keperluan kanak-kanak istimewa dengan lebih baik melalui runding cara, kumpulan sokongan, bengkel dan seminar.
“Kami menyediakan tempat yang lebih khusus kepada kanak-kanak yang tidak dapat ditempatkan di aliran sekolah biasa. Walaupun di sekolah mereka ini akan ditempatkan di kelas pendidikan khas tetapi perhatian agak kurang diterima kerana bilangan yang ramai berbanding dengan di sini, mereka akan diberi perhatian satu dengan satu,’’ katanya ketika ditemui di Pusat Perkembangan CADS, baru-baru ini.
Program pendidikan
Menurut Salmiah, pusat ini menyediakan program awalan diikuti dengan program pendidikan secara individu untuk setiap pelajar.

“Pembelajaran di pusat ini mengikuti kurikulum kebangsaan ditambah dengan aspek lain yang tidak kurang penting ialah terapi cara kerja, terapi pertuturan dan kemahiran hidup bagi membina keyakinan serta kekuatan dalaman kanak-kanak,’’ katanya.
Sementara itu, Pengetuanya, Arbaiyah Ibrahim berkata, pusat ini menerima kanak-kanak yang berusia dari lima hingga 12 tahun. Malah kami turut menerima kanak-kanak berusia lebih dari 12 tahun sekiranya perkembangan minda kanak-kanak berkenaan berada pada tahap 12 tahun ke bawah.
“Kami sedia menerima kanak-kanak yang mengalami gangguan kognitif, emosi, kelakuan, masalah pembelajaran yang khusus, kecacatan fizikal dan deria.
“Pusat pembangunan CADS menyediakan perkhidmatan dari pukul 7.30 pagi hingga 7.30 malam,’’ katanya.
Tambah beliau, selain mengikuti pembelajaran kurikulum biasa, kanak-kanak di sini diajar perkara-perkara yang boleh membuat mereka berdikari seperti mencuci kasut, mencuci kereta, melipat baju, memakai pakaian, mengikat tali kasut dan memasak.
“Terdapat empat kelas iaitu prasekolah, kelas sembilan hingga 10 tahun, kelas 11 hingga 12 tahun dan 12 hingga 14 tahun. Bilangan satu kelas ialah dua hingga lapan orang.
“Kami mempunyai lapan orang guru di mana nisbah dua murid seorang guru,’’ jelas bekas guru besar Sekolah St. John 2, Kuala Lumpur.
Arbaiyah memberitahu, namun begitu, selalunya dalam mengendalikan sesebuah kelas, tiga orang guru akan berada sekali iaitu seorang akan mengajar, manakala dua orang lagi akan membantu kanak-kanak tersebut.
“Itulah keistimewaan pusat ini, kanak-kanak istimewa ini diberi layanan satu guru satu murid. Ini kerana kebanyakan pelajar di sini harus diajar berulang kali, kadang kala seminggu baru dapat pelajaran yang diajar. Mereka ini lurus, hari ini ingat, esok dah lupa,’’ jelasnya.
Dari tahun 2004, katanya, telah 20 murid berjaya menamatkan pembelajaran mereka di sini dan meneruskan pelajaran di peringkat menengah.
Di samping itu juga, Arbaiyah memberitahu, di pusat ini, murid dihidangkan dengan makanan yang segar tanpa pengawet, pewarna, tiada makanan sejuk beku, makanan segera, aiskrim dan perasa makanan.

“Kami juga menekankan cara penyediaan pemakanan yang sihat seperti rebus, bakar, stim, penggunaan daun pandan, gula perang atau gula melaka bagi memastikan kesihatan kanak-kanak ini tidak terganggu.
“Malah ibu bapa juga digalakkan memberi mereka makanan seumpama ini di rumah.
“Kami juga mengajar murid membaca label di kotak makanan supaya mengetahui kandungan yang terdapat di dalam makanan tersebut dan tarikh luputnya,’’ katanya.
Dalam pada itu, Salmiah yang telah hampir empat tahun terlibat dalam mengendalikan pusat ini memberitahu, sejak awal penubuhan sehingga ke hari ini, pusat masih mampu meneruskan khidmat meskipun dengan sumber kewangan yang terhad tanpa dibiayai oleh mana-mana agensi.
“Setiap bulan kami mengalami ketidakstabilan defisit bulanan sebanyak RM10,000 kerana pusat ini memerlukan kos sebanyak RM28,833 sebulan. Pulangan yang kami peroleh daripada yuran iaitu RM475 sebulan seorang tidak banyak membantu.
“Pusat juga berdepan dengan masalah premis kerana Dewan Bandaraya Kuala Lumpur. (DBKL) telah mengeluarkan arahan supaya meninggalkan premis sedia ada. Kami masih mencari-cari premis yang sesuai untuk menggantikan lokasi ini namun sehingga sekarang, tiada yang sesuai.
“Justeru kami, kami memohon pihak yang prihatin dapat menghulurkan sumbangan demi masa depan kanak-kanak yang mempunyai masalah pembelajaran supaya mereka terus mendapat peluang persekolahan yang terbaik,’’ rayu beliau.
Bagi sesiapa yang ingin mendapatkan maklumat lengkap atau menghulurkan sumbangan untuk Pusat Perkembangan CADS ini boleh hubungi Salmiah di talian 012-2131548 atau Arbaiyah (012-3053495) atau datang ke No. 8, Lorong San Ah Wing off Jalan Semarak, Kuala Lumpur.

2 comments:

Anonymous said...

bolehkah saya mengetahui apakah kemudahan yang terdapat di CADS ini? Anak saya berumur 4 thn setengah mengalami CP dan masih tidak boleh berjalan dsbnya..terima kasih diatas makluman yang diberikan

ctc :adsman79@yahoo.com

Anonymous said...

bolehkah saya mengetahui apakah kemudahan yang terdapat di CADS ini? Anak saya berumur 4 thn setengah mengalami CP dan masih tidak boleh berjalan dsbnya..terima kasih diatas makluman yang diberikan

ctc :adsman79@yahoo.com